Wednesday, March 9, 2011

Berkahwin Muda – PART III

Alhamdulillah, kita bersama sekali lagi dalam kesinambungan bab yang sama.  Di perenggan terakhir pada cerita yang lalu, aku sepatutnya menyatakan cabaran seterusnya iaitu kewangan.  Ianya akan menjadi salah satu masalah utama di awal perkahwinan anda.  Kerjaya anda masih lagi hijau, begitu juga dengan wang gaji yang akan diterima.

Bagi menanggung keluarga baru dan kemungkinan dengan kehadiran orang ketiga iaitu anak, sudah pasti akan membebani perbelanjaan bulanan.  Bagi yang tinggal bersama keluarga sendiri mahupun keluarga mertua, mungkin masih lagi boleh bernafas.

Tetapi, bagaimana pula yang terpaksa hidup sendiri kerana alasan kepingin hidup sendiri, mengelak dari tinggal sebumbung dengan keluarga mertua, dibuang keluarga dan sebagainya?  Panduan-panduan berikut mungkin dapat memberi idea kepada anda akan  langkah-langkah yang boleh diambil bagi mengatasi masalah kewangan ini.

Panduan 1 : Suami-isteri perlu bekerja.  Pendapatan dua orang lebih "mewah" dari seorang sahaja.  Ini pasti akan dapat membantu meringankan perbelanjaan harian.  Namun, suami-isteri harus berkomunikasi dari AWAL-awal lagi.  Maksudnya, perlulah membahagi-bahagikan sesama sendiri siapa yang akan menanggung bil-bil bulanan, perbelanjaan di rumah serta anak.  Jika dari awal pembahagian telah dilakukan, pasti tidak akan menjadi isu di kemudian hari, insyallah.

Panduan 2 : Larikan 5%-20% dari perkongsian gaji setiap bulan untuk disimpan di dalam bank.  Mungkin ada yang akan mengeluh dengan gaji yang kecil malahan perlu pula mengenepikan lagi buat simpanan.  Disiplin adalah kata kuncinya.  Sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit!  Cuba!

Panduan 3 : Jangan mencari nahas dengan kad kredit!  Jauhkan dari memohon bantuan seperti ini.  Ianya akan membebankan anda di kemudian hari.  Sekiranya anda seorang yang sangat berdisiplin dalam hal perbelanjaan dan kewangan mungkin boleh dipertimbangkan.  Ada baiknya juga dalam memiliki kad seperti ini yang boleh digunakan sewaktu kecemasan (contoh; berbelanja di pasaraya mahupun mengisi petrol dll).  Namun lebih banyak membawa kepada keburukan seperti berhutang.  Cuba elakkan!

Panduan 4 : Bagaimana untuk mencari duit lebih?  Kepada isteri-isteri yang berbakat memasak, gunakan bakat anda dalam menambah pendapatan keluarga.  Jika sang suami juga berbakat, maka gunakanlah bagi membantu keluarga anda.  Rancang akan perniagaan kecil-kecilan dari rumah dengan menyediakan perkhidmatan katering untuk jamuan serta keraian kecil.  Mulakan promosi dengan kenalan anda, rakan kerja, keluarga malah jiran-jiran.  Insyallah, mana tahu anda mungkin bakal pemilik sebuah syarikat katering!   

Panduan 5 : Lagi idea bagi mencari duit lebih.  Tidak perlukan sebarang modal tetapi dengan hanya berbekalkan wajah anda.  Mencuba bakat anda di sektor pengiklanan.  Tidak kiralah samada iklan di TV mahupun media cetak, apa yang anda perlu lakukan adalah dengan pergi ke agensi mencari bakat, mengisi borang serta senyuman anda yang akan menjadi simpanan rekod mereka (bergambar).  Tidak perlu berwajah cantik mahupun pan-asian, jika anda bersesuaian dengan wataknya, anda akan dipanggil untuk diuji bakat / audition.  Ini mungkin mengambil waktu yang agak lama bagi menunggu watak yang sesuai, namun ganjaran wang agak mewah.

Beberapa agensi mencari bakat yang boleh anda cuba :-
71 B, 2nd Floor, Jalan SS 22/23 Damansara Jaya, 47400 Petaling Jaya
Tel : 7728 1768 Email : cheese@cheeseagency.com

3-2, Jalan Telawi Dua, Bangsar Baru 59100 Kuala Lumpur
Tel : 2282 6133 Email : contact@dcasting.com

Panduan 6 : Belajar memasak?  Ini dapat meringankan perbelanjaan anda di rumah.  Jika yang tidak tahu langsung untuk memasak, belilah buku-buku masakan atau belajarlah dengan mereka yang lebih berpengalaman.  Masakan di rumah bukan sahaja jauh lebih murah berbanding dengan makanan di luar malah ianya lebih berkhasiat dan sihat!

Apa yang kucoretkan di atas hanya beberapa panduan yang boleh diambil sekiranya bersesuaian dengan anda dalampada mengatasi masalah kewangan.  Beberapa panduan di atas memang kugunakan dalam kehidupan awal perkahwinan sehingga ke hari ini.  Pengalaman juga banyak mengajar dalam mencorak kehidupan dengan lebih baik.

Dalam apa jua yang anda lakukan perlulah mendapat restu suami atau isteri anda.  Oleh itu, coretan yang akan datang akan lebih menceritakan tanggungjawab suami-isteri dalam mewarnai perkahwinan muda anda – Komunikasi tunjang utama panduan berikutnya.

Ketemu lagi di Berkahwin Muda – PART IV, insyallah.

Lyla Mukris

No comments:

Post a Comment