Tuesday, March 22, 2011

Mengandung Di Usia Muda I

Kepada mereka yang baru menerima berita orang ketiga akan hadir di dalam hidup anda, tahniah diucapkan.  Kepada mereka yang tidak menjangka akan menimang cahaya mata dalam waktu terdekat ini, tahniah juga diucapkan.  Dan kepada mereka yang tidak menduga langsung berbadan dua, serta tiada pilihan untuk tidak menerimanya, jangan risau mahupun runsing.

Walau apa pun jua, anugerah yang diberi itu harus diterima dengan sebaik-baiknya.  Pasti ada hikmah di sebaliknya.  Anggaplah rezeki datang dari-NYA.  Kepada yang bersedih hati, memikirkan bagaimana untuk meniti hari-hari berikutnya, semoga dengan perkongsian ini dapat meringankan kerisauan hati, insyallah.

Pengalaman mengandung anak pertama akan terdapat beberapa kejadian yang tidak akan diduga, seperti (1) morning sickness.  Jangan risau, ini normal.  Kebanyakkan wanita akan mengalaminya dan ada juga yang beruntung kerana tidak akan mengalaminya langsung.  Morning sickness adalah alahan semasa mengandung terutamanya di waktu pagi. 

Panduan berikut mungkin akan membantu anda daripada mendapat morning sickness yang agak teruk, insyallah.

1.  Dapatkan tidur yang mencukupi di waktu malam
2.  Jika ingin tidur di waktu siang, pastikan anda tidak terus tidur selepas makan
3.  Hindari tempat yang agak panas kerana haba akan meningkatkan rasa muntah tadi
4.  Hindari makanan berminyak dan pedas kerana ianyanya akan menyebabkan pedih hati dan bau makanan tersebut mungkin akan menyebabkan anda muntah
5.  Bawa bersama anda gula-gula, asam dan minyak angin di dalam beg tangan kerana  makanan ringan dan minyak angin ini dapat membantu dari rasa loya
6.  Buka tingkap ketika memasak kerana bau masakan boleh menyebabkan rasa mual

Kebanyakkan wanita akan turut mengalami masalah ini sebaik perut anda mula membonjol.  Ianya bukan penyakit kulit, tetapi masalah ini adalah (2) regangan kulit atau stretch marks.  Regangan kulit ini bukan sahaja akan terjadi di kawasan perut malah di peha, punggung dan juga payu dara.  Jangan tunggu sehingga tanda-tanda regangan ini timbul, sapulah krim anti stretch marks sejurus anda berada di trimester pertama kandungan anda.  Terdapat pelbagai jenama krim stretch marks boleh didapati di farmasi tetapi aku cadangkan jenama Cocoa butter formula, Bio oil dan penggunaan olive oil juga dapat membantu. 

Akibat dari keregangan kulit tadi, anda akan mengalami gatal-gatal di kawasan yang sama terutamanya di perut, peha dan punggung.  Jangan terlalu menggaru di kawasan tersebut.  Pastikan kuku anda sentiasa pendek, jadi garukkan anda tidak akan terlalu kuat.  Ingat, garukkan anda akan meninggalkan kesan di kawasan regangan kulit itu.  Jangan endahkan kedua-dua hal di atas kerana selepas melahirkan anak, sudah tentu anda ingin kelihatan masih menawan!

Masalah seterusnya yang akan dialami oleh kebanyakkan wanita adalah (3) badan akan naik dari berat asal.  Ini adalah panduan penting yang perlu diikuti anda.  Jangan fikir anda perlu makan untuk dua orang! Ini tidak betul sama sekali! Apa yang perlu anda lakukan adalah makan makanan yang seimbang.  Kurangkan pengambilan gula dan garam kerana ini bukan sahaja akan menggemukkan anda malah wanita mengandung amat senang untuk mendapat penyakit kencing manis dan juga darah tinggi.  Banyakkan pengambilan buah-buahan dan sayur-syauran. 

Kalsium juga amat penting buat anda, jadi banyakkanlah makan makanan yang mengandungi kalsium yang banyak seperti susu, yogurt, cheese dll.  Kalsium bukan sahaja menguatkan tulang dan gigi malah akan dapat menguatkan otot dan saraf anda semasa mengandung.  Vitamin yang disarankan oleh doktor anda juga perlu senantiasa diambil.  Dan yang paling penting, jangan biarkan badan anda kekurangan air!  Agak menyedihkan kerana aku mengalami masalah naik badan ini disebabkan tiada sesiapa yang ingin berkongsi nasihat di waktu itu (almaklumlah orang tua tidak mahu aku jatuh sakit kononnya, jadi makanlah sebanyak mungkin).  Jadi, anda di luar sana, sayangilah tubuh anda, dan aku di sini akan cuba berkongsi pengalaman yang sepatutnya dan tidak sepatutnya dilakukan oleh ibu muda seperti anda.  Anda cantik!

Kita akan bersambung lagi dengan lebih lanjut mengenai apa yang perlu dilakukan oleh anda seterusnya semasa tempoh mengandung anda di Mengandung Di Usia Muda II, insyallah.  Ceria-ceria selalu!

                    [ Penulis bersama anak pertama - Muhaimin ]

Salam Sayang - Lyla Mukris.

Berkahwin Muda – PART IV

Salam! Untuk berkarya agak susah juga kerana perlu menunggu idea datang mencurah baru dapat merangka cerita.  Pada kali ini, aku ingin berkongsi mengenai komunikasi suami-isteri dalam membantu perkahwinan muda anda.

Sebagaimana di coretan yang lalu, aku ada menyatakan yang mana komunikasi merupakan tunjang utama sesebuah perhubungan dan perkahwinan.  Anda pernah dengar men are from mars and women are from venus?  Dua planet yang berbeza kedudukannya, bentuknya, warnanya malah berbeza dari segalanya-segalanya. Begitu jugalah dengan lelaki dan perempuan.  Dua insan yang berbeza terutamanya dari segi perasaan dll.

Aku bukanlah pakar emosi dan juga pakar motivasi yang berijazah.  Melalui pengalaman yang ada kira dapat dikongsi mengenai pemikiran seorang wanita adalah tidak sama dengan pemikiran sang lelaki. 

Sebagai contoh; seorang isteri mungkin akan bertanyakan suaminya, bagaimana harinya di tempat kerja dan si suami akan berkata "ok" dengan hanya satu perkataan sahaja.  Itu sudah cukup untuk membuatkan si isteri salah faham.  Si isteri sebenarnya inginkan si suami menceritakan jika boleh perkara yang berlaku pada si suami dari A-Z bermula dari sarapan pagi, makan tengahari, apa yang berlaku di pejabat dan sebagainya.  Pendek kata, wanita suka bercerita ("membebel" termasuk dalam kamusnya) dan kaum lelaki sebenarnya sangat praktikal.  Jika unsur asas ini tidak diendahkan, pastinya komunikasi yang baik tidak akan dapat dicapai.

Mungkin ada dikalangan isteri yang mengeluh di saat ini dengan pertanyaan bagaimana pula jika suami itu jenis pemarah dan sukar dibawa berbincang?  Komunikasi bagaimana yang dimaksudkan?  Carilah masa serta mood yang bersesuaian sebelum memulakan perbualan. 

Ada juga yang mungkin akan mengeluh lebih panjang yang mana komunikasi mungkin tidak dapat dicapai langsung kerana si suami bukan sahaja pemarah malah mempunyai ego yang tinggi yang mana mungkin dapat menerima pendapat isteri apatah lagi dengan berkomunikasi. 

Jika itu melanda anda, aku ingin berkongsi idea di atas pengalamanku sendiri, ini mungkin dapat membantu anda.  Apa jua yang ingin anda maklumkan kepada suami anda gunakan bahasa yang paling simple dan secara pendeknya luahkan segalanya di atas kertas.  Ya, surat!  Anda boleh menyampaikan terus ke tangan suami anda sebelum beliau meninggalkan rumah untuk keluar bekerja ataupun menyembunyikan surat tersebut di dalam poket atau beg atau diari suami anda tanpa pengetahuan beliau.  Dan berharap suami anda akan terjumpa serta membaca surat anda itu.  Selalunya masalah komunikasi ini selalu terjadi kerana pertengkaran suami-isteri yang akan berlaku dan selalunya ego akan menghantui diri.  Apabila beliau berseorangan, tumpuan beliau sudah pasti pada surat tersebut dengan isu-isu yang cuba anda bangkitkan dalam surat itu.  Insyallah,  apa yang anda ingin sampaikan mungkin akan tercapai. 

Tugas anda bukan berakhir di situ saja, komunikasi akan mengambil peranan juga, berbincanglah secara elok sebaik sahaja suami anda bersedia untuk berkomunikasi.  Yang pasti, isu utama telahpun diketahui oleh beliau.  Kini, hanya kata putus serta cara-cara mengatasi masalah yang keluarga anda alami akan cuba diselesaikan secara bersama.

Ingat, cara ini dinasihatkan tidak diteruskan sampai bila-bila.  Gunakan cara ini bila ada isu-isu yang mungkin agak susah untuk diluahkan terhadap suami anda sahaja.  Komunikasi tetap perkara utama dalam perhubungan anda.  Cuba-cubalah berborak dengan pasangan anda.

Oh ya, dalam surat anda itu juga, selain daripada meluahkan masalah yang anda atau keluarga anda hadapi, harus dinyatakan yang mana anda berdua perlu berkomunikasi dengan lebih kerap! 

Tugas surat tersebut bukan sahaja untuk meluahkan perasaan tidak puas hati anda terhadap beliau atau keluarga beliau, perasaan yang anda pendam atau masalah dalaman keluarga anda, tetapi gunakan cara ini juga untuk meluahkan perasaan cinta anda terhadap suami anda itu – LOVE NOTES! 

Aku?  SMS sebagai pengganti diri!  Good luck kepada anda dengan cara apa sekalipun digunakan.

                                                             
[ Penulis & suami - Di alam percintaan ]


[ Penulis & Suami - 15 tahun hidup bersama dan masih, insyallah]


Lyla Mukris


Wednesday, March 9, 2011

Berkahwin Muda – PART III

Alhamdulillah, kita bersama sekali lagi dalam kesinambungan bab yang sama.  Di perenggan terakhir pada cerita yang lalu, aku sepatutnya menyatakan cabaran seterusnya iaitu kewangan.  Ianya akan menjadi salah satu masalah utama di awal perkahwinan anda.  Kerjaya anda masih lagi hijau, begitu juga dengan wang gaji yang akan diterima.

Bagi menanggung keluarga baru dan kemungkinan dengan kehadiran orang ketiga iaitu anak, sudah pasti akan membebani perbelanjaan bulanan.  Bagi yang tinggal bersama keluarga sendiri mahupun keluarga mertua, mungkin masih lagi boleh bernafas.

Tetapi, bagaimana pula yang terpaksa hidup sendiri kerana alasan kepingin hidup sendiri, mengelak dari tinggal sebumbung dengan keluarga mertua, dibuang keluarga dan sebagainya?  Panduan-panduan berikut mungkin dapat memberi idea kepada anda akan  langkah-langkah yang boleh diambil bagi mengatasi masalah kewangan ini.

Panduan 1 : Suami-isteri perlu bekerja.  Pendapatan dua orang lebih "mewah" dari seorang sahaja.  Ini pasti akan dapat membantu meringankan perbelanjaan harian.  Namun, suami-isteri harus berkomunikasi dari AWAL-awal lagi.  Maksudnya, perlulah membahagi-bahagikan sesama sendiri siapa yang akan menanggung bil-bil bulanan, perbelanjaan di rumah serta anak.  Jika dari awal pembahagian telah dilakukan, pasti tidak akan menjadi isu di kemudian hari, insyallah.

Panduan 2 : Larikan 5%-20% dari perkongsian gaji setiap bulan untuk disimpan di dalam bank.  Mungkin ada yang akan mengeluh dengan gaji yang kecil malahan perlu pula mengenepikan lagi buat simpanan.  Disiplin adalah kata kuncinya.  Sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit!  Cuba!

Panduan 3 : Jangan mencari nahas dengan kad kredit!  Jauhkan dari memohon bantuan seperti ini.  Ianya akan membebankan anda di kemudian hari.  Sekiranya anda seorang yang sangat berdisiplin dalam hal perbelanjaan dan kewangan mungkin boleh dipertimbangkan.  Ada baiknya juga dalam memiliki kad seperti ini yang boleh digunakan sewaktu kecemasan (contoh; berbelanja di pasaraya mahupun mengisi petrol dll).  Namun lebih banyak membawa kepada keburukan seperti berhutang.  Cuba elakkan!

Panduan 4 : Bagaimana untuk mencari duit lebih?  Kepada isteri-isteri yang berbakat memasak, gunakan bakat anda dalam menambah pendapatan keluarga.  Jika sang suami juga berbakat, maka gunakanlah bagi membantu keluarga anda.  Rancang akan perniagaan kecil-kecilan dari rumah dengan menyediakan perkhidmatan katering untuk jamuan serta keraian kecil.  Mulakan promosi dengan kenalan anda, rakan kerja, keluarga malah jiran-jiran.  Insyallah, mana tahu anda mungkin bakal pemilik sebuah syarikat katering!   

Panduan 5 : Lagi idea bagi mencari duit lebih.  Tidak perlukan sebarang modal tetapi dengan hanya berbekalkan wajah anda.  Mencuba bakat anda di sektor pengiklanan.  Tidak kiralah samada iklan di TV mahupun media cetak, apa yang anda perlu lakukan adalah dengan pergi ke agensi mencari bakat, mengisi borang serta senyuman anda yang akan menjadi simpanan rekod mereka (bergambar).  Tidak perlu berwajah cantik mahupun pan-asian, jika anda bersesuaian dengan wataknya, anda akan dipanggil untuk diuji bakat / audition.  Ini mungkin mengambil waktu yang agak lama bagi menunggu watak yang sesuai, namun ganjaran wang agak mewah.

Beberapa agensi mencari bakat yang boleh anda cuba :-
71 B, 2nd Floor, Jalan SS 22/23 Damansara Jaya, 47400 Petaling Jaya
Tel : 7728 1768 Email : cheese@cheeseagency.com

3-2, Jalan Telawi Dua, Bangsar Baru 59100 Kuala Lumpur
Tel : 2282 6133 Email : contact@dcasting.com

Panduan 6 : Belajar memasak?  Ini dapat meringankan perbelanjaan anda di rumah.  Jika yang tidak tahu langsung untuk memasak, belilah buku-buku masakan atau belajarlah dengan mereka yang lebih berpengalaman.  Masakan di rumah bukan sahaja jauh lebih murah berbanding dengan makanan di luar malah ianya lebih berkhasiat dan sihat!

Apa yang kucoretkan di atas hanya beberapa panduan yang boleh diambil sekiranya bersesuaian dengan anda dalampada mengatasi masalah kewangan.  Beberapa panduan di atas memang kugunakan dalam kehidupan awal perkahwinan sehingga ke hari ini.  Pengalaman juga banyak mengajar dalam mencorak kehidupan dengan lebih baik.

Dalam apa jua yang anda lakukan perlulah mendapat restu suami atau isteri anda.  Oleh itu, coretan yang akan datang akan lebih menceritakan tanggungjawab suami-isteri dalam mewarnai perkahwinan muda anda – Komunikasi tunjang utama panduan berikutnya.

Ketemu lagi di Berkahwin Muda – PART IV, insyallah.

Lyla Mukris