Monday, May 9, 2011

Mengandung Di Usia Muda IV

Salam! Bertemu kita sekali lagi di alam blog dengan Part IV dengan isu yang sama.

Apabila anda mengandung keadaan fizikal anda akan berubah sama sekali.  Perubahan pada badan adalah yang paling ketara – badan akan naik dari berat asal.  Jadi, bukanlah menjadi satu alasan untuk anda tidak kelihatan menawan dan anggun pada waktu ini.  Jangan biarkan wajah anda kelihatan pucat.  Pastikan anda berbedak serta calitkan sedikit lipstick pada bibir anda sebelum anda keluar rumah. 

Berikut adalah beberapa panduan yang boleh anda ikuti.

1.   Pakailah baju mengandung yang trendy.  Fesyen untuk baju mengandung sudah banyak bezanya semasa waktu aku mengandung dulu.  Terdapat banyak baju-baju yang menarik boleh anda gayakan.  Anda tidak perlu lagi mencari baju-baju tersebut di pusat membeli-belah malah boleh terus saja membelinya secara online seperti http://www.justmum.com.my/ , http://www.stylishmum2be.blogspot.com/ dan  http://www.prettybabybump.com/  Lagipun baju yang dibeli secara online harganya pasti jauh lebih murah dari kedai di luar.  Anda pasti kelihatan menawan! 

2.  Gunalah kasut bertumit rendah (flat shoes) sepanjang tempoh mengandung anda.  Kasut yang rendah tidak akan memenatkan anda jika anda perlu berjalan jauh.  Kasut seperti jenama Schol dan Crocs amat bersesuaian.  Selesa anda, selesa si bayi!

3.  Penjagaan muka - Kebanyakkan wanita mengandung akan mengalami masalah di wajah.  Wajah anda akan ditumbuhi jerawat, jeragat, panau serta warna hitam atau kusam.  Jangan risau, masalah ini akan hilang sebaik sahaja anda melahirkan bayi anda nanti.    

Jadi penjagaan wajah amat penting semasa tempoh kandungan.  Gunalah produk wajah yang bersesuaian dengan anda.  Sebagai rawatan tradisional anda boleh tempekkan timun atau tomato (dihiris nipis) di muka sebelum anda tidur.  Biarkan selama 10-minit dan basuhlah muka anda dengan air bersih selepas itu.  Sebagai mask ambil pula putih telur yang diperah dengan sedikit limau nipis lalu disapu rata ke muka.  Biarkan selama 10-minit atau hingga anda merasakan muka anda agak tegang, lalu basuhlah dengan air bersih.  Kepada mereka yang mengalami masalah panau pula, gosokkan halia di wajah yang bermasalah itu setiap malam.  Biarkan selama 10-minit lalu dibilas dengan air bersih.  Insyallah, dengan niat dan doa anda, masalah wajah yang dialami mungkin berkurangan.  Wajah yang cantik adalah dalaman dan luaran!
 
Semoga tips-tips di atas dapat membantu anda.  Apa yang dipaparkan di sini hanyalah dari pengalamanku sendiri yang cuba ingin kokongsikan bersama.  Anggun, menawan, seksi, cantik bukan sahaja dari dalaman namun luaran juga perlu dipeliharai!

Selamat mencuba!

Salam Sayang - Lyla Mukris.

Tuesday, May 3, 2011

Mengandung Di Usia Muda III

Salam!

Sebaik sahaja anda mengetahui yang anda mengandung, perkara pertama yang perlu anda lakukan ialah, berbincang dengan suami anda mengenai doktor mana yang akan anda jumpa dan yang akan menyambut kelahiran anda nanti serta hospital mana yang akan anda pergi bagi melahirkan anak anda.   

Perkara seterusnya yang perlu anda lakukan ialah berjumpa dengan doktor sakit puan (gynaecologist).  Bagi pemerikasaan pertama, doktor akan memastikan serta mengesahkan kehamilan anda.  Kandungan anda juga akan diimbas – ujian ultasound (scan) bagi melihat keaktifan dan melihat keadaan kandungan anda berada dalam keadaan yang baik.  Pada waktu ini, doktor akan dapat memberitahu tarikh jangkaan anda bersalin.  Malalui ujian ultrasound ini juga akan anda ketahui jangkaan tarikh bersalin dengan lebih tepat.

Anda akan diberi vitamin dan ubat yang perlu anda ambil sepanjang tempoh kandungan anda.  Dan anda akan diminta datang untuk pemeriksaan seterusnya pada setiap bulan yang berikutnya bagi pemeriksaan ke atas bayi dengan lebih lanjut, pengambilan berat badan anda, tekanan darah, ujian air kencing, ujian darah, suntikan vaksin dan sebagainya.

Penjagaan awal kehamilan adalah amat penting dan perhatian ibu-ibu bagi menjamin kesihatan dirinya dan bayi perlu dititik-beratkan.  Beberapa perkara bagi bakal-bakal ibu perlu dielakkan sepanjang kehamilan anda.

1.  Jangan mengambil minuman bergas kerana minuman sebegini mengandungi jumlah gula yang banyak.  Gula boleh menyebabkan anda gemuk dan juga kencing manis.  Begitu juga dengan pengambilan makanan ringan.

2.      Merokok boleh menyebabkan bayi anda lahir tidak cukup bulan, menyebabkan bayi cacat dan juga anda
mungkin akan mengalami keguguran.

3.  Elakkan dari melakukan sebarang kerja-kerja berat, kerja-kerja yang memerlukan anda berdiri lama, mengangkat barang yang berat serta aktiviti lasak seperti bersenam secara ekstrim.  

4.   Elakkan diri anda berada di dalam keadaan stress yang melampau.

5.   Jauhi pendedahan radiasi seperti sinaran x-ray.

Terdapat pelbagai lagi perkara yang perlu dielakkan seperti pengambilan makanan, minuman dan  ubatan-ubatan yang perlu dijauhi oleh bakal ibu.  Apa yang aku cuba coretkan di sini hanyalah pengalaman yang pernah dilalui serta dinasihatkan kepada aku suatu ketika dulu.  Dapatkan nasihat terkini daripada doktor sakit puan anda dan juga petua-petua serta makanan-makanan yang boleh diamalkan sepanjang tempoh mengandung dari orang yang lebih tua daripada anda.

Ibu yang sihat bakal melahirkan anak yang comel dan pintar!

Salam Sayang.
Lyla Mukris.