Wednesday, November 17, 2010

Berkahwin Muda – PART I

Mungkin ada kawan-kawan kita di luar sana yang mengalami kemelut di saat ini atau pada suatu ketika dulu.  Tidak kiralah berkahwin muda akibat kerana desakan keluarga, kerana terperangkap dengan cinta palsu, terlanjur, kerana berkahwin lari dan apa jua alasan yang diberikan.  Masalah pasti akan timbul jika keputusan berkahwin muda ini dicapai. 

Aku berkahwin semasa berumur 22 tahun.  Jurang perbezaan umur hanya setahun dengan suami.  Rakan seangkatan ketika itu masih lagi menikmati alam awal-dewasa namun aku harus berhadapan dengan masalah yang masih samar lagi ketika itu.  Ramai yang bertanya mengapa kahwin sebegitu awal?  Terngiang-ngiang lagi kata-kata perli serta kutukkan daripada saudara-mara dan juga rakan-rakan sekerja. Ada yang menuduh aku terlanjur, ada yang menuduh aku miang dan gatal dan bermacam-macam lagi jenis sangkaan buruk.

Persetankan mereka semua!  Pernah dengar perkataan soulmate? Aku dan suami adalah soulmate yang ditemukan seperti hikayat cerita dongeng. Dongeng ala fairy tale.  Hanya gambar yang menjadi bukti.  Bermula di alam tadika, kami dijodohkan di dalam gambar.  Infact, gambar itu hanya disedari oleh kami 3-4 tahun yang lepas setelah 15 tahun mendirikan rumahtangga (ketika itu kami memang tahu kami bersekolah di tadika yang sama).  Aku masih ingat lagi, sejurus saja melihat gambar tersebut bersama - bulu roma kami meremang!  Anda hairan? Apatah lagi kami....

 [ Penulis dan suami = 5 & 6 tahun]


                               
                                                             [ Penulis = 21 tahun]

Walaubagaimanapun, blog ini ditulis bukan untuk bercerita tentang sejarah aku dan suami – bagaimana kita bertemu selepas itu, bercinta, berkahwin, menimang cahaya mata dan sebagainya.  Apa yang aku ingin kongsikan bersama adalah kisah aku mengharungi pahit getir hidup berumahtangga di usia yang muda.  Yang kukira, insyallah akan dapat kiranya membantu atau lebih memberi perangsang dan motivasi untuk bagaimana mengharungi sekiranya masalah rumahtangga melanda. 

Akan terdapat beberapa masalah yang akan timbul kelak seperti masalah kesempitan wang, keluarga belah suami,  ibu mertua, campurtangan keluarga, suami baran, dibuang keluarga kerana tidak bersetuju dengan perkahwinan (atas apa jua alasan), stres yang melampau, orang ketiga dan sebagainya.

Ulasan yang akan diberi oleh aku nanti merupakan sesuatu yang general yang tidak bermaksud untuk ditujukan kepada sesiapa.  Insyallah, akan kukupaskan di dalam Berkahwin Muda – PART II.

Salam – Lyla Mukris








INTRO

Salam semua. Baru diperkenalkan dengan dunia blog dan yang pastinya inilah dunia cyberspace yang paling menakjubkan. Pernah satu masa dulu aku ingin berkongsi pengalaman dengan penulisan buku. Tapi tidak tahu bagaimana cara untuk memulakan impian terpendam itu. Penulisan blog akan menjadi tempat meluahkan pendapat, berkongsi cerita/pengalaman dan sebagainya. Dan blog ini mugkin tidak ada follower nya dan mungkin akan mempunyai peminat nya tersendiri.

Aku bukannya seorang yang terkenal yang cukup masak dengan pengalaman-pengalaman. Mahupun juga pakar motivasi atau kaunselor, tetapi setakat berkongsi pengalaman rasanya tidak salah. Dan aku tidak kedekut untuk menurunkan petua dari pengalaman hidup aku sendiri yang tidak seberapanya. Dengan pengalaman berkahwin muda serta rintangan dan dugaan yang ditempuhi selama ini menjadikan aku seorang yang kental dan berjiwa satria.

Kenapa satria? Menurut arwah nenek dan mak, kami berketurunan pahlawan-Bugis. Bermakna datang apa jua cabaran dan dugaan akan kami berjuang sehingga ke hujung nafas. Begitulah simboliknya. Malah darah pahlawan Ngah Ibrahim Dan Panglima Mat Amin (sejarah melayu negeri Perak) mengalir dalam diri ini juga. Bukan sebelah malah kedua-dua belah keluarga ayahanda dan bonda berketurunan pahlawan/satria.

Dalam blog ini juga akan kukongsikan tips-tips cabaran serta laluan yang penuh ranjau dalam usia perkahwinan muda, menangani masalah mengandung diusia yang muda, mendidik anak-anak, berkongsi resepi masakan, buku-buku bacaan yang dapat membantu mungkin dalam kehidupan seharian dan banyak lagi insyallah. Kebanyakkan tajuk perkongsian cerita akan berkisar kekeluargaan. Insyallah. Segala komen samada yang buruk atau baik akan aku terima dan sama-sama kita ambil yang baik sebagai pengajaran dan buruk sebagai sempadan. Insyallah. Semoga ketemu di dalam bab yang akan datang.

Salam Sayang - Lyla Mukris.