Ketemu kita sekali lagi di ruang siber. Bersambung kita kembali kepada topik yang sama di dalam Part II.
Pengalaman sebagai ibu muda akan banyak menguji anda bukan sahaja secara mental malah fizikal terutamanya. Selain dari masalah yang akan dihadapi, kita akan berkongsi tip-tips yang boleh dilakukan oleh ibu muda seperti anda. Dengan pengalaman yang ada, aku berharap panduan yang tidak seberapanya ini dapat dibuat sebagai rujukan kepada anda semua.
Masalah lain yang akan timbul ialah, (1) kekejangan kaki. Selalunya akan berlaku di waktu malam sewaktu anda tidur. Anda akan dikejutkan dengan kekejangan tersebut. Jangan panik! Maklumkan perkara ini terlebih dahulu kepada suami anda, kerana beliau yang akan membantu anda apabila situasi ini berlaku. Minta suami anda tolakkan ke belakang ibu jari kaki (yang mengalami kekejangan tersebut) buat beberapa minit sehingga sakit kekejangan tersebut beransur hilang. Insyallah, ini mungkin dapat membantu anda.
Masalah seterusnya ialah, (2) sakit belakang di bahagian pinggang dan belakang. Ini juga normal, kerana semakin besar kandungan anda, rasa sakit di pinggang akan terjadi. Ini berlaku akibat berat kandungan anda. Jangan terlalu banyak lumurkan minyak gosok atau minyak panas atau minyak angin ke belakang anda. Dan jangan terlalu kuat mengurut belakang anda juga. Memadailah dengan gosokan/usapan lembut dengan menggunakan olive oil atau losen badan ke kawasan yang sakit tadi. Duduk dengan tegak buat sementara sambil diusap atau digosok oleh suami anda. Insyallah, sakit tersebut akan berkurangan tambahan lagi dengan usapan lembut dan manja dari si suami.
(3) Kaki anda akan mula membengkak apabila kandungan anda semakin berat. Ini merupakan masalah yang mungkin akan anda hadapi. Jangan khuatir. Sebelum tidur, alaskan kaki anda di atas bantal bagi mendapatkan pengaliran darah yang lebih baik. Insyallah, bengkak anda akan beransur surut atau kaki anda tidak akan lagi terlalu membengkak.
Perlulah diketahui yang mana bukan kesemua wanita mengandung akan mengalami masalah yang sama. Semoga dengan tips-tips yang diberi akan dapat membantu anda, insyallah. Kuatkan semangat anda dan ceriakan hari anda selalu!
Salam Sayang.
Lyla Mukris